Apple tawar gantian PERCUMA bateri iPhone | ICT Niaga Enterprise

Apple tawar gantian PERCUMA bateri iPhone

| Posted in ,


Apple baru-baru ini telah mengeluarkan surat permohonan maaf kepada pelanggan-pelanggannya atas sebab “salah faham” berkenaan masalah iPhone lama yang menjadi lembab. Berdasarkan pengakuan Apple sebelum ini, tindakan menjadikan iPhone lama menjadi lemah prestasinya adalah disebabkan faktor mengawal tahap penggunaan bateri peranti terbabit.

Di dalam kenyataan surat berkenaan, pihak Apple menyatakan bateri merupakan “komponen guna habis” (consumable part). Atas sebab itu, Apple menawarkan pemilik-pemilik iPhone 6 dan ke atas, penggantian bateri dengan kos $29 (lebih kurang RM117) bermula lewat Januari 2018 hingga penghujung Disember 2018. Kos ini merupakan pengurangan dari kos asalnya yang sebelum ini ditetapkan pada $50 (lebih kurang RM203).

Apple juga turut berjanji untuk menambahkan fungsi memaparkan info berkenaan prestasi bateri di dalam kemaskini iOS awal 2018 kelak. Paparan info ini bertujuan memberikan pengetahuan kepada pengguna berkenaan sejauh mana tahap bateri telefon pintar tersebut mampu menyokong prestasi maksimumnya.

Pemakluman ini merupakan satu perubahan yang besar terhadap pandangan Apple pada bateri iPhone. Sedekad yang lalu, Apple menyatakan bahawa pengguna-pengguna iPhone tidak perlu menggantikan bateri telefon pintar masing-masing.

Namun begitu, sebahagian pengguna-pengguna iPhone selama ini telah mengesyaki bahawa Apple memang sengaja memperlahankan prestasi iPhone lama bagi menggalakkan penggunanya membeli iPhone baru. Lantas, pengakuan terbuka dari Apple ini telah menguatkan lagi rasa curiga sebahagian penggunanya.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan buruk padahnya. Tindakan dari Apple ini yang tidak berterus terang dari awal lagi sedikit sebanyak menghakis kepercayaan pengguna terhadap jenamanya. Walaupun Apple sedang berusaha memulihkan kembali keadaan, masa untuk mengembalikan kepercayaan ini tidak mampu dicapai dalam waktu yang singkat.

Sumber berita diperoleh dari Ars Technica
Terjemahan dari AAP