ICT Niaga Enterprise: 2021

Facebook, Whatsapp dan Instagram pulih dalam masa enam jam

 


Gangguan perkhidmatan ketiga-tiga gergasi media sosial iaitu Facebook, WhatsApp dan Instagram sudah kembali pulih selepas enam jam.

Pengendali ketiga-tiga aplikasi berkenaan mengambil masa sekitar enam jam untuk memulihkan gangguan dan berdasarkan beberapa laporan, ia adalah antara tempoh gangguan paling lama pernah direkodkan.

Menerusi ciapan daripada akaun rasmi WhatsApp di Twitter menyatakan bahawa perkhidmatan itu sudah pulih secara berperingkat selepas menghadapi gangguan lewat malam semalam.

Ciapan itu juga menyatakan bahawa pihak pengendali sedang melaksanakan fasa pemulihan secara berperingkat dengan berhati-hati.

"“Thanks to the patience of the users and now, the WhatsApp functionality is in the process of being restored. "We will provide an update on these recovery measures," katanya menerusi ciapan di Twitter.

Sekitar jam 6 pagi tadi, perkhidmatan ketiga-tiga aplikasi berkenaan dilihat sudah pulih seperti sediakala selepas menghadapi gangguan.

Bagaimanapun, pengendali aplikasi berkenaan tidak menyatakan punca gangguan itu berlaku.


Kredit : hmetro.com.my

Facebook, Whatsapp dan Instagram alami gangguan - 5 Oktober 2021

Facebook, Whatsapp dan Instagram kelihatan ketika ini mengalami masalah sehingga membuatkan para pengguna media sosial berpindah ke Twitter untuk membangkitkan permasalahan berkenaan.

Hasil pemerhatian mendapati, mesej WhatsApp tidak dapat dikirim dan diterima, manakala pautan Facebook dan Instagram juga mengalami nasalah capaian, serta tidak boleh dibuka seperti biasa.

Sebilangan akaun Facebook memaparkan pesanan yang menyatakan : “Sorry, something went wrong. We are working on it and we will fix it as soon as possible ”

Setakat ini tidak ada pengumuman mengenai status aplikasi ini di laman Twitter rasmi mereka.

Disebabkan masalah yang melanda rangkaian perkhidmatan berkaitan Facebook, landasan Twitter menjadi alternatif bagi menyampaikan aduan dengan dibanjiri pertanyaan mengenai perkara itu, yang dilihat dialami oleh pengguna sedunia.



Galah dan booster penyelesaian sementara untuk kualiti capaian internet

Capaian internet yang tidak stabil mendorong penduduk di beberapa buah kampung di Teluk Intan, Perak menggunakan ‘booster’ yang dipasang pada galah panjang atau batang pencantas pelepah kelapa sawit untuk menambah kekuatan isyarat.

Penduduk berkata, mereka tiada pilihan selain menggunakan cara itu disebabkan capaian internet yang lemah sehingga menjejaskan anak-anak mereka untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Galah sehingga ada yang mencecah ketinggian 40 kaki itu banyak banyak digunakan di Kampung Sungai Samak, Sungai Manila, Sungai Bugis dan Bagan Lalang di sini.

Ketua Kampung Sungai Samak, Ahmad Hilmi Yunus, 56, berkata, masalah capaian internet yang lemah sudah lama dialami penduduk sehingga menyukarkan komunikasi mereka.

Menurutnya, selain untuk PdPR, keadaan itu juga menyukarkan mereka untuk berhubung jika berlaku kecemasan.

“Untuk memasang alat ini, kosnya agak tinggi juga, namun kami tiada pilihan kerana ca­paian internet di sini lemah.

“Apatah lagi sekarang pelajar belajar secara dalam talian, sudah tentu mereka perlukan capaian internet yang stabil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Katanya, pemasangan booster pada galah atau batang pencantas pelepah kelapa sawit juga mempunyai risiko kerana ia boleh tumbang jika angin kuat.

“Saya wakil penduduk empat kampung di sini berharap pihak yang berkenaan datang melihat keadaan kami yang berdepan masalah internet.

“Ini menyebabkan boleh dikatakan setiap rumah di sini ada sebatang galah dipasang booster untuk kami mendapatkan capaian internet,” katanya.

Seorang pelajar, Muhammad Ali Fiqri Parmen, 19, berkata, dia perlukan capaian internet yang stabil untuk mengikuti sesi PdPR.

“Jika kami tidak menggunakan cara sekarang bagi mendapatkan internet, macam mana kami mahu mengikuti PdPR,” katanya.

Pelajar lain, Muhammad Istikom, 18, berkata, masalah itu sudah dialami sejak sekian lama dan keadaannya tidak bertambah baik.

“Saya minat untuk belajar, tapi disebabkan Covid-19 terpaksa belajar di rumah. Jika tiada internet macam mana saya nak belajar,” katanya.

Kredit : Utusan Malaysia.

* ada lagi tak timbalan menteri nak kata mereka menipu tentang kualiti capaian internet ? 😏🤷🤔